Monday, March 7, 2011

Sabar Itu Indah

Assalamualaikum wbt

Sabar itu merupakan sifat mahmudah yang patut ada dalam diri seseorang. Sabar itu tiada hadnya. Apabila seseorang mengatakn sudah tiada sabar lagi dalam dirinya terhadap sesuatu perkara, maka sebedipraktikkan narnya sifat sabar itu telah hilang dalam dirinya. Sabar boleh dipupuk dan dipraktikkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Bagi mengukuhkan lagi sifat sabar dalam diri kita, marilah kita bersama-sama menelusuri kisah Rasulullah S.A.W dan mengambil iktibar daripada sifat sabar yang ditunjukkan oleh baginda.




Rasullullah adalah seorang yang sangat penyabar  dan menjadi contoh kepada kita semua. Dalam beberapa kes baginda memaafkan orang yang melakukan kesilapan walaupun kelihatan kesilapan itu sangat besar.

Contohnya ;
1. Wanita Yahudi yang selalu membuang abu dapurnya ke atas nabi sewaktu nabi SAW melalui rumahnya setiap hari untuk pergi ke Masjid. Suatu hari didapati wanita itu tidak membuang abu seperti biasa, bila diselidik, rupanya wanita Yahudi itu sedang sakit. Nabi SAW menziarahi beliau. Wanita Yahudi sangat terkesan dengan kunjungan baginda kerana walaupun sering disakiti baginda bersedia memaafkan, bahkan menziarahi pula beliau sewaktu sakit.

2. Peristiwa dakwah Nabi SAW ke Taif. Kanak-kanak diupah membaling batu ke tubuh Nabi SAW. Baginda disakiti sehingga darah mengalir ke kaki baginda dan dakwah baginda ditolak.Malaikat datang menawarkan agar dianggkat bukit untuk dihempap ke atas kaum Taif. Namun baginda dengan sabar menolak tawaran Malaikat sambil mendoakan agar penduduk   Taif diberikan hidayah oleh Allah.                
Kedua-dua peristiwa ini menujukkan bahawa, kemaafan yang baginda berikan ini bersifat individu. Jika kesalahan yang dilakukan hanya melibatkan seseorang individu atau masyarakat Arab ke atas baginda secara peribadi, baginda bersedia memafkannya.

Namun kita  dapati bahawa baginda mengambil sikap yang sangat tegas terhadap mereka yang telah melakukan khianat dan memberikan mudarat kepada umat Islam. Dalam situasi begini, baginda tidak lagi memaafkan mereka yang melakukan kesalahan tersebut. 

Contohnya 1.
Nabi SAW dan para sahabat diperintahkan Allah agar berhijrah ke Madinah, setelah melalui tempoh penderitaan, penidasan dan kezaliman selama lebih kurang 13 tahun.Hijrah mereka ke Madinah sehelai sepinggang , tidak dibenarkan membawa sebarang harta. Meninggalkan kampong halaman dan sanak saudara. Di Madinah mereka membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan aman damai di bawah pemerintahan Baginda SAW.

Melihat dari satu sudut, wajar saja mereka memaafkan kaum Quraisy yang telah banyak menindas mereka. Mereka boleh lupakan kehidupan di Mekah , kerana di Madinah mereka boleh hidup dengan lebih baik. Mereka boleh redhakan segala tindakan yang pernah dikenakan kepada mereka. Mereka boleh halalkan segala harta yang ditinggalkan kepada kaum Quraisy.  Namun apa yang berlaku  adalah sebaliknya. Kaum muslimin ingin agar hak dan kepunyaan mereka dikembalikan. Faktor inilah antara yang membawa kepada berlakunya peperangan Badar dalam tahun ke dua Hijrah. 

Contoh 2.
Dalam kisah berlakunya Bai'tur Ridhwan. Nabi SAW bersama 1500  para sahabat ingin kembali Ke Mekah menunaikan umrah setelah 6 tahun dihalau ke Madinah. Baginda SAW bermimpi memasuki Mekah dengan aman sambil mengerjakan umrah. Mereka ingin kembali dalam keadaan aman dengan tidak membawa senjata peperangan. Hanya berbekalkan pedang bersarung, diletakkan unta dan haiwan untuk korban 'al hady' dihadapan rombongan mereka sebagai bukti perdamaian yang mereka inginkan. Kedatangan mereka telah disalah sangka oleh kaum Quraisy. Mereka menuduh , kaum muslimin hendak menyerang Mekah. Quraisy menghantar Urwah bin Mas’ud untuk meminta penjelasan dari kaum muslimin tentnag tujuan kedatangan mereka.Beliau secara peribadi dapat menerima hakikat kadantangan Nabi bukan untuk berperang berdasarkan bukti-bukti yang jelas.

Malangnya Quraisy enggan menerima penerangan dan bukti-bukti yang dinyatakan, bahkan tetap berkeras mendakwa kaum muslimin ingin menyerang mereka. Rasulullah SAW menghantar pula Saidina Uthman untuk menerangkan tujuan kedatangan mereka kepada kaum Quraisy.Tersebar berita bahawa Saidina Uthman telah dibunuh. Nabi dan para sahabat bersepakat utk membela darah Uthman, lalu mereka mengadakan bai’ah (janji setia) dan tidak akan kembali ke Madinah sehinggalah darah Uthman terbela.Mereka sedia berdamai atau mati syahid.Gerun dengan kesepakatan kaum muslimin yang kelihatan bertekad untuk menuntut bela , Quraisy menghantar Suhail bin Amru untuk berbincang dengan mereka. Lalu termeterailah perjanjian Hudaibiyah, perjanjian damai antara kaum muslimin dan kafir quraisy.

Contoh 3. Kisah pembukaan Kota Mekah.
Menurut perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai antara Quraisy dan Nabi Muhammad SAW, mana-mana kabilah  bebas untuk mengadakan hubungan sama ada dengan kaum Quraisy atau dengan kaum muslimin. Dakwah dan kerja agama bebas dilakukan di Tanah Arab.Bani Bakr bekerjasama dengan Quraisy, manakala Bani Khuza’ah pula mengikat janji untuk bersama dengan kaum muslimin di Madinah. Namun Bani Bakar telah bertindak melampau dengan menyerang Bani Khuza’ah serta membunuh 20 orang dari kalangan mereka. Kaum Quraisy bertindak membantu Bani Bakar. Tindakan ini bercanggah dengan perjanjian Hudaibiyah yang telah dicapai bersama iaitu semua kabilah bebas bergerak dan memilih untuk bekerjasama dengan sesiapa saja . Perbuatan khianat mereka telah mengundang kemurkaan Nabi SAW dan para sahabat. Tindakan mereka tidak dapat dimaafkan oleh kaum muslimin yang jelas tidak menghormati hak asasi kabilah-kabilah Arab. Nabi SAW mengambil tindakan nekad hendak menyerang kaum musyrikin Mekah. Baginda bersama hampir 10 000 tentera , disamping beberapa kabilah yang turut serta bersama mereka.

Ringkasnya kaum muslimin berjaya menguasai Kota Mekah tanpa ada pertumpahan darah. Baginda SAW telah melepas dan memaafkan semua penduduk Mekah atas perlakuan mereka sebelum ini. Namun beberapa orang pembesar Quraisy  dijatuhkan hukuman oleh baginda.Merekalah yang menjadi punca kezaliman terhadap kaum muslimin.

Peristiwa Bai’ah Ridhwan dan pembukaan Kota Mekah di atas menunjukkan bahawa kaum Musyrikin Mekah telah melakukan  kesilapan dan pengkhianatan terhadap Nabi SAW dan kaum muslimin. Pengkhianatan ini bukan lagi dilakukan kepada Rasulullah seorang sebagai individu, sebaliknya melibatkan seluruh kaum muslimin. Baginda tidak mengambil jalan memaafkan , sebaliknya mengambil sikap yang tegas terhadap kaum Quraisy, bahkan bersedia untuk berperang demi membela kebenaran dan mengajar kebiadaban pembesar Quraisy.

Kesimpulan
1.       Pada dasarnya, memaafkan kesalahan orang lain terhadap kita adalah amalan yang mulia dan sangat digalakkan oleh Islam. Kesilapan yang bersifat individu tersebut yang hanya kena pada diri seorang sahaja adalah wajar dimaafkan dan memberi peluang kepada yang bersalah memperbaiki kesilapan dirinya. Sebagaimana Rasulullah memaafkan kesilapan wanita Yahudi dan kaum Taif, kita juga hendaklah bersedia memafkan kesilapan orang lain terhadap diri kita.

2.       Namun jika kesilapan tersebut membabitkan hak orang ramai , lebih-lebih lagi jika ia melibatkan maruah dan masa depan mereka, mereka berhak untuk tidak memaafkan orang yang bersalah. Mereka berhak mengambil tindakan yang tegas bagi memastikan kesilapan tersebut tidak berulang kembali Sebagaimana Nabi SAW bertindak menyerang Quraisy Mekah dalam pembukaan Kota Mekah. Jika dibiarkan, mungkin kesilapan Quraisy akan diulang kembali pada masa depan sehingga boleh menjejaskan dakwah dan perkembangan Islam. Kezaliman mereka mungkin berterusan dan penindasan yang mereka kenakan kepada kaum muslimin selama beberapa tahun sebelum itu tidak dapat dihentikan. Maka tindakan Nabi SAW menyerang Kota Mekah adalah tindakan terbaik yang diambil oleh baginda SAW bagi menyelesaikan konflik semasa.


Selagi ada ruang kemaafan, maafkanlah terutama jika membabitkan diri kita sebagai individu. Sesekali tindakan tegas juga adalah wajar bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar tersebar dalam masyarakat.


1 comment:

  1. salam nanot, besnyer kalau dapat warisi sifat sabar rasulullah.:)

    ReplyDelete