Tuesday, January 18, 2011

No Caption

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, hari ini, 14 Safar 1432H bersamaan 18 Januari 2011 saya masih diberikan nikmat untuk bernafas. Nikmat untuk terus berada di bumi asing ini untuk meneruskan pengajian. Semoga Allah memberi kesempatan kepada saya untuk menghabiskan pengajian di bumi ini dengan cemerlangnya dan bakal menjadi pendidik yang membawa perubahan dan impak yang besar kepada anak bangsa, agama dan juga negara.

Sedar tak sedar, umur juga meningkat. Kalau dahulunya meningkatnya umur, masih ada '1' lagi di depan. Tapi kini, berubah menjadi '2'. Satu anjakan yang begitu ketara dalam kehidupan seorang insan. Cuba saya selami diri, selama 20 tahun saya hidup sebagai manusia, banyak mana dosa saya, pahala saya, sumbangan saya kepada islam, bangsa dan agama.

Sebagai seorang pemudi harapan bangsa dan agama, kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan Allah, bukanlah hak saya seorang diri. Tetapi hendaklah juga dimanfaatkan kepada orang lain. Itulah hakikat sebenar 'erti hidup pada memberi'. Kalau dalam kehidupan kita, kita asyik menerima, dan tidak pernah memberi, maka rugilah kehidupan kita. Sedangkan dalam kehidupan ini, kita hendaklah saling berkongsi tak kira dalam apa jua perkara dari segi ilmu, harta benda, masa, tenaga dan sebagainya.

Apakah bermaknanya hidup saya, sekiranya saya hidup dalam keadaan selesa, tetapi masih ada lagi golongan yang dizalimi dan hidup dalam kongkongan masalah yang menghimpit diri. Bukankah diri saya mampu untuk membantu mereka yang di luar sana, yang masih alpa dengan godaan dunia yang mengasyikkan. Ilmu yang saya dapat, saya berharap agar tidaklah saya simpan seorang diri. Malah, saya suka untuk berkongsi bersama-sama rakan yang lain. Apalah ertinya ilmu yang diterima andai tidak diamalkan.

Di sini, saya ingin menyeru kepada rakan-rakan yang lain, untuk bermuhasabah dan menilai diri, di manakah letaknya peranan dan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba Allah, anak, pelajar dan rakyat terhadap sesebuah negara.

Akhir kalam, hargailah erti hidup dengan memberi kerana kehidupan kita akan menjadi lebih bermakna.




No comments:

Post a Comment